fb fb fb fb fb

33 PATI Thailand dihantar pulang

PATI yang dihantar pulang ke negara asal semalam

BUKIT KAYU HITAM, 26 Ogos – Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand dihantar pulang ke negara asal semalam.

Proses penghantaran pulang dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, kesemua mereka berusia antara 20 hingga 70 tahun, terdiri daripada 24 lelaki dan sembilan wanita.

Beliau menjelaskan, tahanan berkenaan sebelum ini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik selepas ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Antara kesalahan termasuk masuk tanpa pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan, mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan telah selesai menjalani hukuman sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, program pemindahan ini adalah sebahagian usaha berterusan bagi memastikan kedaulatan undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara.

Tambahnya lagi, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara bersepadu bagi membanteras kemasukan serta keberadaan PATI di Malaysia.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN