KUALA NERUS, 8 Januari- Skuad pelayaran Sarawak menyasarkan hadiah pingat emas pertama sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan membuka tirai di Bumi Kenyalang, Ogos nanti.
Hasil program pembangunan sukan pelayaran secara komprehensif sejak tujuh tahun lalu di bawah kendalian ketua jurulatih, Jamil Ali, mula meletakkan Sarawak kini di antara lima teratas kuasa sukan pelayaran tanah air sama ada di pentas SUKMA mahupun lain-lain kejuaraan peringkat kebangsaan.
Mengulas lanjut, Bintara Muda (Bersara) Jamil Ali yang juga merupakan bekas atlet kebangsaan pada tahun 1980an, optimis dengan sasaran awal yang diletakkan sekiranya atlet-atlet negeri terus menimba pendedahan perlumbaan berprestasi tinggi sepanjang tahun ini sehingga gelanggang SUKMA 2024 dibuka nanti.
Beliau yang telah menamatkan perkhidmatan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) juga merupakan bekas atlet kebangsaan yang pernah beraksi sebanyak tiga kali di pentas temasya Sukan SEA pada tahun 1983 di Singapura, 1985 di Bangkok dan pada tahun 1989 telah menghadiahkan pingat emas buat negara yang menjadi tuan rumah ketika itu.
Ketua jurulatih itu juga tidak menolak bahawa skuad pelayaran Sarawak bakal membuat kejutan dalam beberapa kategori acara bot yang sering didominasi oleh Terengganu.
"Pada saya, untuk mencapai pingat emas di sukan SUKMA 2024 adalah sangat-sangat penting. Saya tahu di mana tahap saya sebagai jurulatih yang mendidik dia hampir selama hampir tujuh tahun."
Jadi, saya telah mencurahkan segala ilmu yang saya ada kepada dia. Misi penting yang perlu direalisasikan untuk bawa pulang emas pertama pelayaran kepada Sarawak," kata Jamil kepada pemberita ketika pasukannya berkampung di perairan Pulau Duyung, Kuala Nerus bagi program latihan berprestasi tinggi sewaktu musim tengkujuh bersama pasukan pelayaran negeri Terengganu.
Atlet pelayaran yang juga anak jati Miri, Syahzhroul Aiman Rozaiman yang akan membuat penampilan terakhir di pentas SUKMA 2024 kelak, bertekad untuk kembali menghadiahkan pingat emas buat negeri kelahirannya.
Pada SUKMA 2018, Syahzhroul Aiman Rozaiman membuat kejutan apabila meraih dua pingat emas menerusi acara bot Optimist sekali gus mengenepikan dominasi podium oleh Terengganu.
"SUKMA 2024 adalah edisi terakhir saya dan ia akan menjadi sejarah untuk kontijen Sarawak sukan pelayaran, emas pertama milik kami," kata Syahzhroul Aiman kepada pemberita.