fb fb fb fb fb

"Striving for Excellence" asas perkukuh perpaduan, catat kecemerlangan

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Disember- Malaysia harus memastikan keadaan dalam negara berada dalam keadaan teratur sebelum memikul tanggungjawab besar sebagai Pengerusi ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ke arah itu prinsip "Striving for Excellence" harus dijunjung supaya menjadi asas kepada usaha memperkukuh perpaduan dan mencatat kecemerlangan negara.

Menurut Anwar prinsip itu adalah kunci untuk memastikan Malaysia mampu melangkah dengan yakin ke arena serantau dan pasaran antarabangsa.

"Sebab sebelum kita melangkau ke rantau dan ke pasaran antarabangsa negara harus teratur dengan baik.

"Tatakelola mesti dimantapkan, ketirisan dan rasuah mesti dibanteras, barulah kita akan perolehi penghormatan sebagai satu negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 yang disiarkan di saluran stesen televisyen tempatan.

"Inilah penghormatan yang besar untuk negara dan peluang untuk membina lembaran baru dalam agenda serantau dan global terus mencabar selagi beberapa isu pokok seperti pembantaian, kezaliman, penindasan, penjajahan di Gaza dan beberapa kawasan yang mencabar selainnya," katanya lagi.

Perdana Menteri turut mendoakan supaya semua usaha untuk membangunkan negara dan menjayakan Kepengerusian ASEAN 2025, dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan" mendapat keberkatan Allah SWT.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI