
IPOH, 16 Julai – Penyebaran fahaman ajaran sesat di Perak masih terkawal dan sentiasa diberi perhatian kerajaan negeri menerusi pemantauan pihak berkuasa agama.
- Menteri Besar sahkan terdapat laporan tetapi setiap perkembangan diketahui dan dipantau oleh pihak berkuasa negeri.
- Segala maklumat dan aduan akan diteliti bersama Jabatan Agama Islam Perak dan Jabatan Mufti.
- Isu dibincangkan dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri sementara Sultan Perak dimaklumkan mengenai perkembangan.
- Penyebaran ajaran sesat kini cabaran baharu apabila berlaku secara tertutup menerusi alam maya, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, walaupun terdapat laporan berkaitan perkara itu, setiap perkembangan diketahui pihak berkuasa negeri.
Menurut beliau, sebarang maklumat atau aduan berkaitan fahaman ajaran sesat akan diteliti bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dan Jabatan Mufti.
“Kita tahu memang ada, namun ia dalam kawalan kita. Maknanya peristiwa itu kita tahu dan laporannya juga kita tahu. Kita tidak membiarkan aktiviti sebegini dan ia dalam pengetahuan kita,” katanya.
Jelasnya, isu berkenaan turut dibincangkan dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri, manakala Sultan Perak selaku Ketua Agama Negeri turut dimaklumkan mengenai perkembangan itu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang, di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan sebelum ini memaklumkan penyebaran ajaran sesat kini menjadi cabaran baharu apabila turut berlaku secara tertutup menerusi alam maya.