KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data sedang dibangunkan sebagai kerangka utama bagi memperkukuh kawalan dan tadbir urus keselamatan data kerajaan.
Pada masa sama, strategi tersebut bertujuan mempertingkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem digital kerajaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata strategi itu akan menyatukan prinsip keselamatan, akauntabiliti dan kepercayaan digital bagi menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ke arah pembentukan sebuah Negara Kecedasan Buatan (AI) yang selamat dan dipercayai.
"Kementerian ini percaya, melalui pelaksanaan yang menyeluruh dengan pendekatan perkongsian-tanggungjawab yang betul, perlindungan terhadap keselamatan maklumat peribadi rakyat dalam sistem kerajaan boleh dicapai secara berstruktur, diaudit secara berkala dan ditambah baik daripada semasa ke semasa bagi mempertingkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan," katanya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, perkhidmatan bagi ujian keselamatan ICT turut disediakan.
"Kementerian juga melalui CyberSecurity Malaysia, turut menyediakan perkhidmatan bagi ujian keselamatan ICT melalui pensijilan Malaysian Common Criteria Evaluation and Certification (MyCC) dan Technology Security Assurance (TSA), penilaian kerentanan dan ujian penembusan (Vulnerability Assessment and Penetration Testing [VAPT), serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa ISMS ISO/IEC 27001.
"Latihan juga diberikan kepada pegawai-pegawai sektor awam dalam aspek pensijilan profesional seperti Certified Chief Information Security Officer (C-CISO)", katanya.
Pernyataan itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, di Dewan Rakyat.