fb fb fb fb fb

Stok penimbal beras mencukupi lebih enam bulan

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 7 Mei - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan stok beras negara merekodkan lebih 1.1 juta tan metrik mencukupi untuk menampung keperluan sehingga lebih enam bulan.

Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurp berkata, ini termasuk stok penimbal beras berjumlah 200,000 tan metrik.

Menurut beliau, dalam tempoh terdekat ini, Malaysia tidak akan terjejas dengan konflik bersenjata antara India dan Pakistan yang dilihat semakin meruncing.

"Kerajaan akan terus memantau bagi memastikan stok beras negara sentiasa mencukupi.

"Mengikut data terkini, Malaysia merekodkan lebih 1.1 juta metrik tan beras dengan lebih 200,000 tan metrik daripadanya stok penimbal. Ia mencukupi untuk menampung keperluan sehingga lebih enam bulan," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan berkemungkinan melaksanakan kaedah mempelbagaikan sumber beras daripada negara lain.

Ini bagi memastikan stok penimbal beras terus mencukupi buat keperluan negara.

"Meskipun apa sahaja berlaku termasuk konflik geopolitik, kita (kerajaan) akan melakukan kaedah mempelbagaikan daripada sumber beras yang kita ambil daripada negara lain. Untuk memastikan stok penimbal sentiasa ada bagi memenuhi keperluan beras negara," ujarnya lagi.

Semalam, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak menolak kemungkinan akan menambah import beras dari negara jiran susulan konflik India-Pakistan yang dijangka menjejaskan bekalan beras negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN