SPRM: 36 tangkapan direkod babit penjawat awam kumpulan pengurusan tertinggi

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah/Foto BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan 36 tangkapan membabitkan penjawat awam daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi antara 2021 hingga 31 Januari tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM merekodkan 36 tangkapan melibatkan penjawat awam Kumpulan Pengurusan Tertinggi antara 2021 hingga 31 Januari tahun ini.
  • KDN melaksanakan dasar zero tolerance, penguatkuasaan disiplin, dan penggunaan teknologi seperti kamera badan untuk cegah salah guna kuasa.
  • Peningkatan mekanisme integriti termasuk Unit Integriti, IPCC, dan Sistem SPINE untuk kukuhkan tadbir urus dan akauntabiliti agensi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata daripada jumlah itu, 20 pertuduhan telah dikemukakan dengan nilai rasuah yang terbabit berjumlah RM22,004,505 membabitkan lapan kes sabitan.

“Berhubung perancangan kementerian bagi memastikan tadbir urus agensi terus berjalan dengan baik, khususnya apabila melibatkan aspek keselamatan negara, KDN telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah penting, antaranya melaksanakan dasar zero tolerance terhadap rasuah dan salah laku, khususnya dalam agensi penguatkuasaan bagi memelihara integriti dan reputasi.

“Pendekatan ini melibatkan tindakan tegas, pemantauan disiplin, dan peningkatan penggunaan teknologi seperti kamera badan untuk mencegah salah guna kuasa oleh pihak penguatkuasaan,” katanya menjawab soalan Datuk Nelson W Angang di Dewan Negara, hari ini.

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar berkata, kerajaan juga akan mengukuhkan mekanisme integriti dan akauntabiliti dalaman melalui penubuhan serta pemerkasaan Unit Integriti di semua jabatan dan agensi di bawah KDN, yang berperanan menyiasat aduan salah laku secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang serta peraturan sedia ada.

Kataya, kerajaan juga telah menubuhkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang berperanan khususnya untuk memantau, menyiasat dan mengambil tindakan terhadap aduan salah laku anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara bebas dan berkecuali.

Selain itu, KDN turut menyambut baik inisiatif terbaharu kerajaan melalui pengenalan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang berperanan sebagai pelengkap kepada usaha sedia ada, bagi memperkukuh tadbir urus di semua jabatan dan agensi.

Beliau juga berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai tanpa mengira pangkat atau kedudukan sekiranya terdapat bukti dan asas yang kukuh, demi memastikan prinsip keadilan, integriti serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.