SPR laksana projek rintis OCR-VA pada hari pengundian PRN Negeri Sembilan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan melaksanakan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA), semasa Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Sembilan Ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan dijalankan di Sekolah Menengah Agama Dato' Klana Petra Maamor, melibatkan Saluran Satu hingga Tujuh bagi Dewan Negeri N.14 Ampangan.
  • Sistem mengimbas dan menyemak maklumat pengundi berdasarkan pangkalan data rasmi, menandakan kehadiran secara automatik dan masa nyata.
  • Mengurangkan kesilapan penandaan manual, mempercepat semakan dan perekodan; hanya merekod kehadiran, kerahsiaan undi serta perlindungan data dijamin.

Pelaksanaan itu akan dijalankan di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, melibatkan Saluran Satu hingga Tujuh bagi Dewan Negeri N.14 Ampangan.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus menerusi kenyataan berkata, sistem berkenaan dibangunkan untuk mengimbas dan menyemak maklumat pengundi berdasarkan pangkalan data rasmi suruhanjaya itu, sekali gus menandakan kehadiran pengundi secara automatik dan masa nyata.

“Penggunaan teknologi itu dijangka dapat mempercepatkan proses semakan dan perekodan kehadiran, mengurangkan kesilapan penandaan secara manual serta meningkatkan kecekapan petugas Kerani Pengundian.

“Menerusi pelaksanaan berkenaan, pengundi hanya perlu hadir ke pusat mengundi seperti biasa dan mengemukakan kad pengenalan kepada petugas sebelum meneruskan proses pengundian mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

SPR memberi jaminan sistem OCR-VA hanya digunakan untuk merekodkan kehadiran pengundi dan tidak melibatkan proses pengundian atau perekodan pilihan yang dibuat.

“Kerahsiaan undi kekal terpelihara, manakala aspek keselamatan maklumat serta perlindungan data peribadi pengundi turut diberi perhatian,” katanya lagi.

Hasil pelaksanaan rintis itu akan dinilai secara menyeluruh bagi menentukan keberkesanan, kecekapan operasi serta potensi penggunaannya secara lebih meluas dalam pilihan raya akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.