
BATU BERENDAM, 30 Julai – Seramai 20 anak Melaka daripada golongan B40 menerima tajaan latihan bernilai hampir RM10 juta daripada ‘International Aero Training Academy’ (IATAC) bagi membuka peluang membina kerjaya dalam industri penerbangan.
- Tajaan latihan dilihat sebagai pelaburan strategik untuk mencungkil bakat dan membuka laluan kerjaya dalam industri penerbangan.
- Empat anak Melaka dipilih sebagai kadet perintis, langkah awal melahirkan bakat juruterbang dari bumi Melaka.
- Selain penerbangan, 30 anak Melaka menerima tajaan kejururawatan daripada King University College, meningkatkan peluang pekerjaan tempatan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tajaan itu merupakan pelaburan strategik untuk mencungkil bakat, membina potensi dan membuka laluan kerjaya dalam dunia penerbangan khusus buat anak-anak Melaka.
Katanya, untuk kumpulan pertama ini seramai empat orang daripada keseluruhan 20 anak Melaka akan menerima tajaan penuh latihan kadet juruterbang daripada IATAC
“Bagi pengambilan kumpulan pertama ini, kita telah memilih empat anak Melaka sebagai kadet perintis.
“Saya berharap selepas ini lebih ramai anak daripada keluarga B40 dapat dikenal pasti dan dinilai berdasarkan kebolehan mereka untuk menjadi juruterbang, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat penerbangan dari bumi Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Orientasi Program Tajaan Kadet Juruterbang Anak Melaka B40, di IATAC Batu Berendam.
Selain industri penerbangan, seramai 30 anak melaka turut menerima tajaan dalam bidang kejururawatan daripada universiti swasta, ‘King University College’.
Usaha itu sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada anak Melaka.