Raja Muda Kedah berkenan berangkat ke Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah

Foto BERNAMA

BUKIT KAYU HITAM, 30 Julai – Semangat kesukanan dan gaya hidup sihat jelas terpancar apabila ratusan komuniti FELDA dari seluruh Kedah menyertai pelbagai aktiviti termasuk larian, sukaneka dan permainan tradisional sempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di FELDA Bukit Tangga, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Muda Kedah berkenan berangkat menyempurnakan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah, disambut menteri dan kepimpinan negeri.
  • Program bertujuan memperkukuh kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah, menyemarak gaya hidup sihat dan mempererat kerjasama agensi serta komuniti.
  • Baginda melancarkan Deklarasi FELDA Teguh Lawan Dadah, melawat pameran agensi serta menyantuni peserta aktiviti dan konvoi tanah rancangan.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan berangkat menyempurnakan program berkenaan.

Keberangkatan baginda disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri serta wakil agensi berkaitan.

Program itu bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, di samping menyemarakkan gaya hidup sihat serta mempererat kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti dalam membanteras gejala berkenaan.

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyempurnakan gimik pelancaran program serta menyaksikan penyerahan Deklarasi FELDA Teguh Lawan Dadah sebagai simbol komitmen warga FELDA dalam memerangi penyalahgunaan dadah.

Baginda kemudian berkenan melawat reruai pameran pelbagai agensi kerajaan selain menyantuni peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti sukaneka, permainan tradisional serta konvoi membabitkan wakil daripada 10 tanah rancangan FELDA.

Terdahulu, Datuk Seri Saifuddin dalam ucapannya berkata keberangkatan Raja Muda Kedah mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya dalam usaha membanteras ancaman dadah yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Program sehari itu turut diisi dengan pelbagai pengisian termasuk Larian Aspirasi Bebas Dadah, Karnival Perkhidmatan Bersepadu, pameran Pendidikan Kerjaya, demonstrasi Unit K9 Kastam serta aktiviti kekeluargaan yang menekankan pembinaan komuniti bebas dadah dan sejahtera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.