
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Wakil pekerja sosial dari setiap negeri dan Wilayah Persekutuan, selain wakil sektor awam dan swasta, akan menganggotai Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia yang ditubuhkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026.
- Akta mengwujudkan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia untuk mengawal pendaftaran pengamal, menetapkan standard kompetensi serta mengurus etika dan disiplin pekerja sosial.
- Majlis melibatkan kerajaan, NGO, sektor swasta, persatuan profesional dan akademik; dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPWKM.
- Anggota dilantik maksimum dua tahun berdasarkan merit untuk memanfaatkan kepakaran; akta meningkatkan bilangan pekerja sosial berkelayakan dan melindungi masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lim Hui Ying berkata, komposisi majlis itu turut merangkumi wakil kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik bagi memastikan keseimbangan serta keterangkuman dalam pelaksanaan dasar dan pengawalseliaan profesion kerja sosial.
Katanya, majlis itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPWKM, manakala Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi.
“Pengamal kerja sosial mempunyai keanggotaan yang dijamin di bawah akta, manakala pelantikan wakil sektor swasta, NGO, persatuan profesional, pendidik dan ahli akademik dibuat berdasarkan merit serta kepakaran,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Profesion Kerja Sosial 2026 di Dewan Negara, sebelum ia diluluskan.
Menurut Lim, anggota majlis akan dilantik bagi tempoh tidak melebihi dua tahun bagi memastikan kepakaran dalam bidang kerja sosial dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
Beliau berkata, penggubalan akta itu penting bagi memperkukuh profesionalisme kerja sosial yang berdepan cabaran isu sosial semakin kompleks.
Melalui akta tersebut, Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia akan mengawal selia pendaftaran pengamal, menetapkan standard kompetensi profesional serta mengurus aspek etika dan disiplin pekerja sosial.
“Langkah itu juga dijangka meningkatkan bilangan pekerja sosial yang berkelayakan, melindungi masyarakat daripada penyalahgunaan gelaran pekerja sosial tanpa kelayakan serta mengiktiraf profesion berkenaan sebagai kerjaya profesional di negara ini,” katanya.