
PETALING JAYA, 30 Julai – Kerangka Perolehan Impak Sosial Malaysia (PRISMA) dilancarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertujuan mengarusperdanakan amalan perolehan berimpak sosial dalam kalangan agensi kerajaan dan syarikat swasta.
- PRISMA memperkenalkan paradigma perolehan berimpak sosial yang menilai impak alam sekitar, masyarakat dan ekonomi, bukan hanya harga dan kualiti.
- KUSKOP sebagai kementerian pertama menetapkan komitmen nilai perolehan minima RM300,000 tahun ini, meningkat dari RM100,000 tahun lalu.
- Langkah ini menyokong perusahaan sosial melalui peruntukan sebahagian dana perolehan dan memperkukuh ekosistem untuk meningkatkan penarafan perusahaan sosial.
Menurut Menterinya, Steven Sim, langkah ini sekali gus memperluas peluang pasaran kepada perusahaan sosial di negara ini.
“KUSKOP menjadi kementerian pertama di Malaysia yang melaksanakan amalan berkenaan dengan komitmen nilai perolehan sekurang-kurangnya RM300,000 tahun ini, berbanding RM100,000 tahun lalu,” katanya pada Majlis Perasmian Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial (KEPS) Malaysia 2029 di sini.
“PRISMA adalah paradigma baharu iaitu peralihan daripada perolehan tradisional yang hanya menilai harga dan kualiti kepada perolehan berimpak sosial yang mengambil kira impak kepada alam sekitar, masyarakat serta ekonomi,” jelasnya.
Beliau menambah, agensi kerajaan dan syarikat swasta yang tersenarai akan menggunakan sebahagian daripada dana aktiviti perolehan yang dibuat untuk menyokong produk dan perkhidmatan daripada perusahaan sosial.
“Inisiatif ini penting bagi memperkukuh ekosistem perusahaan sosial yang ketika ini masih kecil dengan hanya 649 perusahaan sosial menerima penarafan KUSKOP, berbanding sasaran 5,000 perusahaan sosial menjelang 2025. Justeru, usaha memperkukuh ekosistem perusahaan sosial perlu dipergiat,” tambah beliau.
Katanya, bagi menggalakkan lebih banyak perusahaan sosial mendapatkan penarafan, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menawarkan pengecualian yuran penarafan bermula 1 Ogos hingga 17 September sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.