KUALA LUMPUR, 21 Mei- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra muncul Johan Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2024 (PPTK'24).
SMK Ismail Petra diwakili Nik Nadzif Dhamir Nazhin Jazli membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800 berserta piala.
Sementara itu Naib Juara dianugerahkan kepada Alyaa Izzaty Rozis dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM600 berserta piala.
Bagi tempat ketiga pula, dianugerahkan kepada Faseeh Fardha Firdaus dari Sekolah Tun Fatimah. Faseeh membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM400 berserta piala.
Tempat ke-4 dan ke-5 masing masing dianugerahkan kepada Nurain Najwa Zolkifly dari Sekolah Menengah (SM) Sains Banting dan Balqiyatus Sholeha binti Imam Sopingi dari SMK Serdang.
Sagu hati dari tempat ke-4 hingga ke-8 turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM150 manakala tempat ke-9 hingga ke-15 menerima RM100.
Ke semua pemenang dan penerima hadiah sagu hati turut diberikan sijil dan cenderamata barangan tajaan.
Jawatankuasa Majlis Tertinggi Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2024 Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah dalam satu kenyataan berkata, PPTK’24 adalah untuk meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan peserta pelajar sekolah menengah seluruh Malaysia.
"Penganjuran PPTK’24 adalah untuk meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan peserta yang terdiri dari pelajar sekolah menengah seluruh Malaysia dalam lingkungan umur 15 hingga 17 tahun agar mampu mengutarakan idea yang bernas dengan tema 'Mengutuhkan Nusa Bangsa Berpaksikan Bahasa Melayu'," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Juri Pertandingan Akhir PPTK’24, Dr Rohaidah Haron menyifatkan tajuk pidato spontan yang diberikan berjaya memikat hati juri dengan kebolehan peserta.
"Tajuk pidato spontan yang menarik dan mencabar membuatkan barisan panel juri kagum dengan kebolehan peserta yang masih muda menghuraikan tajuk dengan sebaik mungkin," katanya semasa memberikan ucapan di sini.
Pidato Piala Tuanku Kurshiah bermula pada tahun 2015 dan memasuki edisi ke-10 pada tahun ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penaja utama.
Majlis perasmian penutup disempurnakan Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Roshidah Hassan.