KUALA LUMPUR, 10 November -Skop pembiayaan program Menangani Kempen Anti Minyak Sawit (CAPOC) akan diperluas pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Chan Foong Hin berkata, ia bagi memperkukuh peluang pasaran serta meningkatkan eksport ke pasaran antarabangsa yang menjadi fokus utama kementeriannya.
Jelasnya, sebahagian daripada dana tersebut akan diperuntukkan khusus untuk usaha memperkukuh akses pasaran serta penglibatan Malaysia dalam pameran perdagangan antarabangsa penting seperti Gulfood, FI Europe (bahan makanan Eropah) dan FI India (bahan makanan India).
"Usaha ini akan mengukuhkan kehadiran Malaysia pada platform berimpak tinggi serta menyokong prestasi eksport yang lebih baik. Secara keseluruhan, CAPOC 2026 lebih berorientasikan “commercial outcome-driven”, bukan sekadar memaklumkan kepada umum, tetapi membentuk naratif dan menggerakkan pengaruh pasaran untuk melindungi dan memperluas akses pasaran global Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa Belanjawan 2026 Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), di Dewan Rakyat.
Tambahnya, pada 2026, tumpuan akan diberikan kepada strategi berasaskan akses pasaran, termasuk penglibatan terus dengan pembeli dan penggubal keputusan, serta pelaksanaan Kunjungan Jaringan Perdagangan yang direka khusus bagi menyatukan matlamat meningkatkan kesedaran pasaran dan memperkukuh eksport.
Meskipun pendekatan pada 2025 lebih menekankan pendidikan umum, strategi 2026 akan dipertingkatkan melalui kolaborasi dengan media antarabangsa berpengaruh bagi membentuk persepsi dalam kalangan pengguna, pemain industri dan pembuat dasar global melalui platform yang popular.