KUALA LUMPUR, 21 Februari- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa situasi penyakit kusta di Kuala Pilah berada dalam keadaan terkawal dan pesakit tidak perlu diasingkan kerana rawatan yang berkesan tersedia.
Kementerian itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, orang ramai diminta memberikan kerjasama kepada pasukan kesihatan semasa aktiviti pengesanan kes dijalankan.
"Aktiviti pengesanan kes dan kontak serta langkah pencegahan dan kawalan jangkitan masih diteruskan. Mana-mana individu yang mempunyai gejala penyakit kusta dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran," menurut kenyataan tersebut.
Menurut KKM, setakat 19 Februari, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan telah menjalankan saringan terhadap 368 daripada 460 penduduk di Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah sebagai sebahagian daripada usaha mempergiat pengesanan kes kusta.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pencarian dan pengesanan kes secara bersasar sejak Julai 2024. Sehingga kini, sembilan kes telah disahkan sebagai kusta dan kesemua pesakit telah diberikan rawatan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Dalam kenyataan yang sama, KKM turut mengesahkan bahawa seorang pesakit berusia 18 tahun dari Kampung Chergun telah meninggal dunia pada 17 Februari lalu.
Pesakit itu sebelum ini dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) setelah mengalami gejala demam, sakit perut, dan muntah, dan telah menerima rawatan daripada Pakar Perubatan Dalaman HTAN serta konsultasi daripada pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Dermatologi.
Terdahulu media melaporkan bahawa seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun, Kuala Pilah telah meninggal dunia akibat penyakit kusta, manakala lapan individu lain sedang menerima rawatan.
Dalam pada itu, KKM memaklumkan bahawa jumlah kes kusta yang dilaporkan pada tahun lalu menunjukkan peningkatan kepada 292 kes berbanding 256 kes pada tahun 2023. Daripada jumlah tersebut, 192 kes merupakan kes baharu dalam kalangan rakyat tempatan.
Namun, peningkatan itu dilihat sebagai hasil positif daripada pengukuhan inisiatif pencarian dan pengesanan kes secara bersasar bagi memastikan kes dapat dikesan awal serta diberikan rawatan segera bagi mengurangkan komplikasi dan mencegah kecacatan kekal.
KKM menegaskan bahawa tumpuan utama program kawalan kusta kebangsaan adalah pengesanan awal kes dalam kalangan golongan berisiko serta di kawasan endemik.
"Pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat mengawal penularan penyakit, manakala rawatan awal mampu mengurangkan risiko komplikasi dan kecacatan kekal. Pemberian rawatan profilaksis 'Single Dose Rifampicin' kepada kontak rapat dan komuniti berisiko juga telah dilaksanakan sejak 2023 sebagai langkah pencegahan," menurut kenyataan itu.