
KUALA LUMPUR, 18 September – Tindakan kerajaan menyita kontena kargo ketenteraan Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor adalah bukti ketegasan negara menolak sebarang persekongkolan dan bantuan logistik kepada kezaliman Zionis.
- Menteri sokong tindakan kerajaan melalui AKPS menegakkan larangan eksport berkaitan Israel.
- Tindakan selari kewajipan agama dan Maqasid Syariah (Hifz an-Nafs) untuk memelihara nyawa dan kedaulatan.
- Seruan kepada seluruh rakyat Malaysia sokong solidariti bersama Palestin dan kekal menentang sebarang persekongkolan.
- AKPS menahan sebuah kontena disyaki untuk dieksport ke Israel, didakwa melanggar Item No.15 Perintah Kastam 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menyokong tindakan kerajaan melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam
“Tindakan ini selari dengan kewajipan agama serta prinsip Maqasid Syariah (Hifz an-Nafs) bagi memelihara nyawa dan memastikan kedaulatan tanah air tidak dieksploitasi oleh rejim haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong penuh ketegasan kerajaan yang tidak berganjak daripada solidariti bersama Palestin.
Tambahnya, sebarang usaha meloloskan kargo sokongan ketenteraan kepada Israel akan ditentang.
“Semoga Allah SWT memelihara perjuangan pembebasan Palestin sehingga kemenangan hakiki tercapai,” katanya.
Terdahulu, AKPS dalam kenyataan memaklumkan menahan serta memeriksa sebuah kontena di PTP pada 7 Ogos lepas yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.
Menurut agensi itu, penghantaran berkenaan disyaki tidak mematuhi Item No.15 Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel selaras dengan dasar dan ketetapan kerajaan Malaysia.