JOHOR BAHRU, 18 Januari- Penduduk di Johor tidak perlu risau terhadap isu kebocoran maklumat peribadi semasa mengemaskini Sistem Pengkalan Data Utama (PADU).
Pengarah DOSM Johor, Mazreha Ya'akub berkata, sistem yang diselia Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu diyakini selamat dan terpelihara buat semua pengguna.
Beliau berkata dakwaan berhubung kehilangan duit simpanan di bank selepas membuat pengemaskinian PADU juga tidak benar dan tiada laporan diterima pihaknya, berhubung perkara itu.
"Saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada masyarakat di luar sana, terutamanya kepada penduduk berumur 18 tahun ke atas untuk segera mengemaskini padu selewat-lewatnya sebelum atau pun pada 31 Mac depan. Jangan tunggu di saat-saat akhir," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Johor, Saiful Hisham Mansor berkata pihaknya akan memperluas hebahan ke setiap daerah menerusi program Info On Wheels (IOW).
"Di samping itu kita sediakan juga ruangan di kawasan tertentu seperti di UTC dan beberapa pejabat penerangan untuk buka kaunter di situ bagi mereka mengisi maklumat dan sebagainya. Selain hebahan, kita juga menggalakkan orang ramai supaya datang mendengar dasar-dasar dan maklumat khususnya untuk mengisi maklumat PADU," katanya.
Setakat semalam, kadar pengemaskinian sistem PADU di Johor meningkat kepada 12.3 peratus, berbanding 4.6 peratus pada 14 Januari lalu.