PUTRAJAYA, 13 November- Sistem Pusat Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (C4ISR) akan digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjelang tahun hadapan.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata sistem C4ISR penting bagi memastikan Pusat Operasi Maritim (POMAR) dapat berfungsi dengan efektif dan lancar.
Ia khususnya dalam menerima serta menganalisis maklumat yang berkaitan dengan ancaman maritim dan aktiviti jenayah terutamanya di kawasan hotspot sempadan perairan negara selain mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan negara.
Jelas beliau, melalui penggunaan C4ISR, Maritim Malaysia dapat menyelaraskan operasi dengan pantas dan tepat, sekaligus membolehkan pegawai dan anggota yang berada di lapangan bertindak dengan lebih cekap terhadap sebarang situasi.
"C4ISR mempunyai tiga sistem utama iaitu MCGMDA (Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness), merupakan integrasi Maritim Malaysia bersama agensi kerajaan lain seperti Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan Jabatan laut Malaysia (JLM) di mana pemantauan kapal-kapal yang mempunyai sistem Automatic Identification System (AIS).
"MCGVTMS (Malaysia Coast Guard Vesel Tracking and Monitoring System) pula merupakan sistem bagi memantau aset-aset Maritim Malaysia dengan menggunakan Secured Automatic Identification System bagi memastikan lokasi aset Maritim Malaysia ini tidak boleh dikesan menggunakan radar.
"Manakala MCGIIS (Malaysia Coast Guard Intelligence Information System) merupakan sistem bagi menganalisis data dan maklumat berkenaan jenayah rentas sempadan, hotspot dan ancaman maritim," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, insiatif berkenaan juga bagi menyahut kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saiffudin Nasution Ismail berkaitan penggunaan teknologi dalam meningkatkan kawalan sempadan.
Dalam hal berkaitan, Mohd Rosli turut memaklumkan Maritim Malaysia akan membangunkan MCGNet (Malaysia Coast Guard Network) dalam mengukuhkan dan memartabatkan lagi komunikasi antara aset di laut danudaraseperti yang terkandung dalam C4ISR.
"Penggunaan C4ISR ini bakal memperkukuh lagi pengawasan di Zon Maritim Malaysia daripada segala ancaman dan jenayah maritim dengan lebih efisien dan efektif," tambah beliau.
C4ISR dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya sekitar Februari tahun depan dengan melibatkan integrasi sistem milik Maritim Malaysia di negeri Kedah, Perlis, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak dan Stesen Udara Maritim Subang, serta agensi keselamatan yang telah menggunakan sistem yang sama seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).