KUALA LUMPUR, 23 Disember - Sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025, pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditempatkan di lokasi-lokasi strategik berkuatkuasa pada 23 hingga 27 Disember ini.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, lokasi tersebut seperti pasar awam, premis dan pusat beli-belah sekitar Wilayah Persekutuan, bagi menjalankan pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan demi melindungi pengguna daripada amalan perniagaan tidak beretika.
"Pemakaian Skim Kawalan Harga Maksimum ini adalah selama lima hari iaitu melibatkan dua hari sebelum hari Krismas, satu hari pada hari perayaan tersebut dan dua hari selepas perayaan Krismas," katanya.
Jelasnya, tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas pada kali ini, ditetapkan bersesuaian dengan keadaan semasa, bagi memastikan keseimbangan kepentingan pengguna dan peniaga.
Penetapan senarai barangan, paras harga maksimum serta tempoh pelaksanaan skim pula dilaksanakan berdasarkan tahap ketersediaan bekalan, kos semasa, keadaan cuaca, kadar upah dan faktor-faktor lain yang berkaitan.
"Pengguna berpeluang menikmati harga yang berpatutan, manakala peniaga pula tidak terbeban dengan tempoh pelaksanaan skim yang terlalu panjang.
"Semua perkara diambil kira. Selain itu, penentuan harga turut mengambil kira pandangan dan maklum balas rakan strategik KPDN termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan serta pemain industri," jelasnya lebih lanjut dalam sidang media Pelaksanaan SHMPP Wilayah Persekutuan selepas meninjau sebuah pasar raya di Taman Tun Dr Ismail.
Dalam pada itu, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan KPKM bagi menjamin bekalan barangan terkawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan dengan 14 jenis barangan dikawal di bawah SHMMP Krismas tahun ini.
"Barangan yang tersebut adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kepak ayam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja), ayam tua hidup (Sarawak sahaja), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah (China), tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar dan bawang kuning besar.
"Selain itu, ubi kentang import (China), babi hidup (ladang sahaja) (Sabah, Sarawak & Labuan sahaja), daging babi (perut) (Sabah, Sarawak & Labuan sahaja), dan daging babi (daging dan lemak) (Sabah, Sarawak & Labuan sahaja). Bagi di Semenanjung ni hanya 9 barang sahajalah," ujar beliau.
Paras harga maksimum serta tempoh pelaksanaan di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman sesawang rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.
Semua pihak khususnya peniaga diseru mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan serta menggunakan label berwarna merah jambu, bagi barangan yang tertakluk kepada kawalan harga, atau berdepan tindakan tegas bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] jika disabit kesalahan.