KUALA LUMPUR, 7 Mac - Setulus Hati diangkat sebagai tema pengisian program pilihan sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini buat penonton dan pendengar Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata beberapa kelainan dan penambahbaikan dilakukan bagi memenuhi citarasa penonton masa kini.
"Saya rasa kelainan itu ialah dari segi pendekatan kita, kita mempunyai pengalaman dan kita sudah tahu apa cita rasa penonton, apa yang penonton mahukan. Jadi kita buat yang terbaik kepada apa yang diperlukan oleh penonton.
"Jadi perbezaan, kalau kita tengok apa yang kita berikan, berbanding yang sudah-sudah itu adalah kualiti yang lebih tinggi. Saya rasa yang paling penting yang harus kita kecapi bersama. Itu yang kita tekankan apabila kita buat apa-apa penerbitan, penerbitan itu kenalah berkualiti tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Bersama Media Sempena Program Khas Ramadan dan Syawal RTM 2024 di Angkasapuri Kota Media.
Program Khas Ramadan dan Syawal 2024 itu melibatkan semua saluran TV dan juga 34 stesen radio RTM.
Bermula minggu pertama Ramadan hingga Syawal, penonton dihidangkan dengan pelbagai kandungan hebat merangkumi program-program kerohanian, telefilem, drama bersiri, hiburan, sketsa, sitkom, variasi, bual bicara serta banyak lagi yang boleh ditonton di televisyen, radio dan penstriman melalui RTMKlik.