fb fb fb fb fb

Seruan PM sempena Deepavali 2025 selari aspirasi Malaysia MADANI

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober — Seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar rakyat terus bersama menuju kemajuan, pencerahan, dan keadilan bersempena sambutan Deepavali 2025, disifatkan selari dengan aspirasi dan nilai Malaysia MADANI yang menjadi teras pentadbiran negara hari ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr. Muhamad Fuad Abdul Karim, berkata mesej tersebut menzahirkan komitmen kerajaan membina masyarakat majmuk yang sejahtera dan harmoni.

“Mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri sempena sambutan Deepavali tahun ini dilihat sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang berasaskan keadilan sosial, berteraskan ilmu serta memupuk masyarakat majmuk yang harmoni.

"Institusi pengajian tinggi seperti UiTM bertanggungjawab memperkukuhkan graduan yang beradab dan berintegriti untuk menjadikan Malaysia negara yang dihormati,” katanya dalam satu temu bual dalam talian bersama RTM hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa nilai-nilai Malaysia MADANI wajar diterapkan dalam pendidikan tinggi bagi membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia, seiring aspirasi negara ke arah kemajuan yang seimbang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM