Serangan siber, kesedaran rakyat dipertingkat – DS Saifuddin

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 November – Kesedaran masyarakat mengenai ancaman serangan siber perlu dipertingkatkan memandangkan keselamatan negara bukan lagi hanya bergantung kepada undang-undang, sistem dan kepakaran agensi berkaitan, sebaliknya menuntut penglibatan aktif rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan siber boleh melumpuhkan pentadbiran kerajaan dan institusi penting jika tidak ditangani dengan pantas dan berkesan.
  • Maklumat sensitif seperti data penduduk, sistem percukaian, rekod polis dan sistem pilihan raya turut menjadi sasaran.
  • Keselamatan siber memerlukan kesedaran dan penglibatan aktif rakyat, bukan hanya undang-undang, sistem serta kepakaran agensi.
  • Kerajaan menyokong platform kerjasama bagi memperluas kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.

Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ancaman siber yang semakin meluas di peringkat global berpotensi melumpuhkan sistem pentadbiran kerajaan serta institusi penting negara sekiranya tidak ditangani dengan pantas, profesional dan berkesan.

Tambahnya, serangan siber moden kini turut menyasarkan maklumat sensitif yang menjadi nadi kepada keselamatan negara, termasuk data penduduk, sistem percukaian, rekod pasukan polis dan sistem suruhanjaya pilihan raya.

Sebagai contoh, Datuk Seri Saifuddin merujuk beberapa insiden serangan siber di peringkat global yang menyasarkan sistem kutipan cukai di Belgium, Suruhanjaya Pilihan Raya di Amerika Syarikat serta maklumat pasukan polis di Jepun.

“Kita mempunyai Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jawatankuasa Kerajaan berkaitan keselamatan siber. Namun, perkara ini bukan sekadar soal peraturan, sistem atau kepakaran sumber manusia yang dimiliki,

“Sebaliknya, apa yang penting ialah mewujudkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat kerana ancaman siber hari ini merupakan ancaman baharu yang tidak dijangka-jangka dan berupaya melumpuhkan institusi sesebuah negara.

“Justeru, kita mesti sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi,”jelasnya selepas majlis pelancaran rasmi Asia International Security Summit & Expo 2027 (AISSE’27) di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian khusus terhadap aspek keselamatan dan penguatkuasaan, namun usaha berkenaan tidak boleh hanya bergantung kepada pendekatan konvensional melalui penggubalan dasar dan peranan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“KDN tidak mampu melihat semua perkara jika kita hanya bergantung kepada cara kita bergerak seperti biasa, iaitu melalui pembuatan dasar dan 11 agensi yang kita ada. Kita tidak boleh bergerak dalam lingkungan itu sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata KDN menyokong penganjuran platform seperti ACE 27 sebagai sebahagian usaha memperluas kerjasama dan meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.