fb fb fb fb fb

Seorang maut nahas dua kenderaan

(FOTO IHSAN BOMBA)

MARAN, 2 Jun - Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Jengka Enam ke Jalan Jengka Tiga, di sini, petang tadi.

Mangsa berusia 41 tahun iaitu pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Yaris meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada pukul 7.19 malam.

(FOTO IHSAN BOMBA)

Katanya, seramai lapan anggota dan seorang pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka dikerahkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati berlakunya kemalangan jalan raya melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bertembung dengan Toyota Yaris dan terdapat seorang lelaki dewasa iaitu pemandu SUV tersepit dalam kenderaan terbabit.

"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Zulfadli, empat mangsa iaitu dua lelaki dan dua wanita dewasa yang menaiki pacuan empat roda mengalami kecederaan.

"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mereka yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Media Baharu