Senarai bahan dalam dadah sintetik perkukuh penguatkuasaan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

JOHOR BAHRU, 13 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi berkaitan perlu segera menyenaraikan bahan-bahan terlarang baharu yang terkandung dalam dadah sintetik bawah Akta Racun 1952.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia penting untuk menyelesaikan masalah dadah sintetik.
  • AADK disarankan mempergiatkan program pencegahan peringkat akar umbi khususnya untuk remaja.
  • Purata umur penyalahguna dadah sintetik ialah antara 15 hingga 39 tahun.
  • Sehingga 2025, 191,832 orang dikesan terlibat sebagai penagih dan penyalah guna dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan langkah itu penting bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah baharu.

“Kalau tidak, ia akan memberi kesan kepada siasatan polis. Apabila dikenal pasti terdapat elemen racun dalam kes tersebut, tetapi racun itu tidak tersenarai, maka ia boleh menjejaskan siasatan.

“Jadi, kita telah berbincang di peringkat Jemaah Menteri bahawa koordinasi antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia adalah kunci kepada penyelesaian masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cabaran pihak berkuasa berdepan dengan penggunaan dadah sintetik dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut disarankan supaya mempergiatkan program pencegahan di peringkat akar umbi bagi meningkatkan kesedaran awal, khususnya dalam kalangan golongan remaja.

Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution, purata umur yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sintetik adalah mereka yang berusia antara 15 hingga 39 tahun.

Terdahulu beliau merasmikan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah daerah Johor Bahru di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wangsa di sini.

Sehingga 2025, seramai 191,832 orang dikesan terlibat sebagai penagih dan penyalah guna dadah di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.