KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan semua urusan berkaitan imigresen, termasuk permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau ePass, hanya boleh dilakukan melalui saluran rasmi jabatan sama ada di kaunter atau secara dalam talian di portal rasmi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tiada pegawai mahupun pihak ketiga yang dibenarkan menguruskan sebarang permohonan di luar prosedur yang ditetapkan.
Penegasan itu dibuat susulan penularan sebuah video di media sosial sejak 7 Ogos lalu yang memaparkan dakwaan seorang individu bergelar ‘Dato’ mampu menguruskan PLKS untuk membebaskan tahanan di Depot Imigresen.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati permit kerja yang ditunjukkan dalam video itu disyaki palsu, dengan kod QR yang telah diubah suai. Semakan silang menerusi sistem MyIMMs menggunakan nombor pasport juga mengesahkan tiada rekod PLKS yang sah.
“JIM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Semua urusan imigresen hanya melalui saluran rasmi. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa mangsa penipuan atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya segera membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama baik jabatan atau memperdaya orang awam, dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.