fb fb fb fb fb

Sembilan lagi individu akan dituduh berhubung kes pecah amanah, pengubahan wang haram projek Lebuhraya MEX II

Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta berhubung cadangan projek pembinaan lebuh raya MEX II/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 September - Sembilan lagi individu dijangka berdepan pertuduhan berhubung kes pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan projek Lebuhraya MEX II.

Demikian dijelaskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media, di sini hari ini.

"Yang mana mereka terlibat dalam transaksi wang bersama yang terlibat Tan Sri Abdul Sahid yang melibatkan penerimaan wang dan penerimaan individu-individu dan mereka ini akan dituduh dalam tempoh terdekat juga, dijangka hujung September ini," kata beliau.

Sebelum ini, Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan 17 pertuduhan melibatkan CBT dan pengubahan wang haram.

Beliau juga akan berdepan tujuh lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib, memaklumkan seorang lagi individu, iaitu bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong, turut akan didakwa atas 18 pertuduhan.

Daripada jumlah itu, sembilan pertuduhan melibatkan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dengan nilai RM209 juta, manakala sembilan lagi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram melibatkan RM387 juta.

Sebutan semula pertuduhan tersebut akan berlangsung pada 3 November depan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN