KUCHING, 23 November - Peningkatan ketara laporan gangguan seksual oleh lelaki menunjukkan golongan itu kini semakin berani tampil mendapatkan bantuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini menerima hampir 1,000 laporan gangguan seksual terhadap lelaki, berbanding hanya sekitar 100 laporan beberapa tahun lepas menurut data polis.
"Dulu, kami hanya menerima sekitar 100 laporan gangguan seksual daripada lelaki, berdasarkan data pihak polis. Namun selepas memperkukuhkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), jumlah laporan meningkat kepada lebih 1,000 dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Perlu ditegaskan, laporan ini dibuat terus kepada kaunselor kami, bukan kepada pihak polis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Penutup Program Kem Kasih Keluarga 2.0 sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 peringkat negeri di Santubong, Kuching.
Menurut Datuk Seri Nancy, faktor rasa segan atau tidak selesa mungkin menjadi sebab lelaki sebelum ini kurang tampil membuat laporan rasmi. Namun, adanya saluran kaunseling yang mesra dan mudah diakses membolehkan lebih ramai tampil ke hadapan.
Beliau turut menegaskan bahawa Tribunal Anti Gangguan Seksual yang kini beroperasi di bawah undang-undang sedia ada bukan sahaja melindungi wanita, tetapi juga lelaki.
Justeru, kementeriannya akan terus memperkukuhkan mekanisme sokongan bagi memastikan semua mangsa, tanpa mengira jantina, berani mendapatkan bantuan dan keadilan.
