KUALA LUMPUR, 5 Februari - Semakan dan siasatan terhadap tatakelola dan tadbir urus melibatkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) selesai dilaksana.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup memaklumkan, beberapa strategi pembaharuan serta penstrukturan semula pertubuhan itu dijalankan bagi memastikan objektif asalnya dapat berfungsi dan dipulihkan.
Katanya, ia termasuk menambah baik komposisi dan tatakelola Ahli Jemaah Pengarah bagi mengelakkan pertindihan kuasa dan fungsi antara pengurusan dengan Ahli Lembaga Pengarah NAFAS.
Selain menilai dan menstruktur semula tadbir urus mengikut Skim Perkhidmatan Personel NAFAS yang diluluskan oleh pendaftar.
"Ketiga, penstrukturan semula syarikat subsidiari NAFAS melalui proses penggabungan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos dan melaksanakan proses penutupan bagi mana-mana syarikat yang tidak berdaya maju serta menjadi liabiliti kepada akaun kumpulan NAFAS.
"Keempat, audit pengurusan dan pemantauan nerterusan secara berjadual untuk memastikan ketelusan dalam urusan kewangan dan keputusan pentadbiran," kata Arthur.
Tambahnya, jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan bagi mengawasi keputusan penting serta mencegah penyalahgunaan kuasa.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengenai strategi pembaharuan untuk melindungi reputasi dan integriti NAFAS, di Dewan Rakyat.