Selangor perkukuh perlindungan kebajikan, tingkat kemahiran pekerja gig

Dr Mohammad Fahmi Ngah / BERNAMA

SHAH ALAM, 16 November– Selangor mahu memperkukuh perlindungan kebajikan dan meningkatkan kemahiran pekerja gig, khususnya pemandu e-hailing, menerusi peluasan akses kepada latihan kemahiran serta perlindungan sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluasan peluang latihan melalui STDC, UiTM dan UNISEL bagi kemahiran teknikal, keusahawanan dan digital.
  • Perlaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) buka ruang perlindungan sosial kepada pekerja gig berdaftar dan mencarum.
  • Faedah termasuk perubatan, hilang upaya sementara dan kekal serta bantuan kepada orang tanggungan.
  • Pengumpulan data pekerja gig sepenuh masa diperlukan untuk merangka pendekatan kebajikan dan latihan lebih bersasar.

Langkah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan mendapat sokongan sewajarnya memandangkan pekerjaan gig kini menjadi antara sumber pendapatan masyarakat.

Exco agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pendekatan itu turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran pekerja gig supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa.

“Bagi memastikan golongan pekerja gig terus mendapat sokongan, kerajaan negeri bercadang memperluas peluang latihan peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula melalui agensi seperti Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), UiTM dan UNISEL.

“Latihan ini boleh merangkumi kemahiran teknikal, keusahawanan dan digital bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran serta meneroka peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 atau Akta 872 yang berkuat kuasa pada 1 April 2026 turut membuka ruang kepada perlindungan sosial bagi pekerja gig yang berdaftar dan mencarum, tertakluk kepada syarat kelayakan.

Ia merangkumi faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal serta faedah kepada orang tanggungan.

Beliau turut berpandangan, pengumpulan data berkaitan jumlah pekerja gig sepenuh masa perlu diberi perhatian bagi membolehkan kerajaan negeri merangka pendekatan yang lebih bersasar.

Usaha itu diharap dapat memastikan pekerja gig bukan sahaja mendapat perlindungan kebajikan, malah mempunyai peluang meningkatkan kemahiran dan memperoleh pekerjaan yang lebih stabil.

Beliau berkata demikian ketika membacakan jawapan bertulis Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu yang tidak dapat hadir ke Sidang Dewan Negeri Selangor kerana cuti sakit

Soalan berkenaan dikemukan Adun Sentosa Dr G Gunarajah yang ingin mengetahui iniasitif atau bantuan bagi membantu pemandu e-hailing yang berdaftar di Selangor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.