PETRA teliti langkah atasi NRW di Perlis

Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad/ Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan meneliti langkah penyelesaian bagi menangani kadar Air Tidak Terhasil (NRW) di Perlis, termasuk usaha menggantikan paip lama yang dikenal pasti menjadi antara punca utama kebocoran.

RINGKASAN BERITA AI
  • PETRA akan berbincang dengan kerajaan negeri kerana pelaksanaan melibatkan aspek pembiayaan dan pinjaman.
  • Sebahagian besar paip di Perlis berusia lebih 50 tahun dan menggunakan asbestos cement, mudah pecah serta terdedah kepada kebocoran.
  • PETRA memberi keutamaan menyelesaikan isu bekalan air sebelum mempergiat usaha mengurangkan kadar NRW.

Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama kerajaan negeri memandangkan pelaksanaan usaha berkenaan turut melibatkan aspek pembiayaan dan pinjaman.

“Sebahagian besar paip di Perlis berusia lebih 50 tahun dan menggunakan jenis asbestos cement (AC) yang mudah pecah serta terdedah kepada kebocoran.

“Kita akan cuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan NRW ini dan sudah pasti perbincangannya adalah melalui kerajaan negeri kerana ia melibatkan pinjaman dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Besar berhubung usaha mempercepatkan peruntukan bagi meningkatkan kadar penggantian paip serta sasaran pengurangan NRW di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Abdul Rahman menjelaskan kadar NRW di Pahang ketika ini ialah 43 peratus dan bukannya melebihi 50 peratus seperti yang dibangkitkan.

Katanya, PETRA turut memberi keutamaan kepada penyelesaian isu bekalan air sebelum mempergiat usaha mengurangkan kadar NRW.

Langkah penggantian paip lama dilihat antara aspek yang perlu diberi perhatian bagi mengurangkan kehilangan air akibat kebocoran dalam sistem agihan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.