fb fb fb fb fb

Selangor komited selesai isu perumahan strata

Datuk Borhan Aman Shah

AMPANG JAYA, 14 September - Selangor terus komited menyelesaikan isu perumahan strata melibatkan baik pulih lif, tangki air, reling dan infrastruktur lain demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

Exco Perumahan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap permasalahan berkaitan prasarana dan infrastruktur perumahan rakyat, termasuk rumah pangsa yang masih belum mempunyai strata dan kini dalam proses mendapatkan kelulusan.

"Jika dilihat, pelbagai sumbangan dan pembaikan prasarana serta infrastruktur telah berjaya dilaksanakan dengan sebaik mungkin, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan rakyat.

"Antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah rumah pangsa yang masih belum memiliki hak milik strata dan sedang dalam proses untuk mendapatkannya.

"Perkara ini wajar dijadikan keutamaan kerajaan negeri, khususnya bawah Exco Perumahan Negeri Selangor, agar setiap penduduk yang telah lama mendiami rumah pangsa dapat memperoleh hak milik sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini.

Selangor memberi keutamaan kepada isu pemilikan strata berikutan masih banyak projek lama di Ampang, Gombak dan beberapa kawasan lain yang belum mempunyai hak milik.

Usaha itu turut diperkukuh dengan kerjasama Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempat (KPKT) serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Pada masa sama Selangor terus komited menyelesaikan isu perumahan strata apabila lebih RM4.4 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih empat pangsapuri di Parlimen Ampang, tahun ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI