fb fb fb fb fb

Selangor arah SD Guthrie keluar arahan pindah kepada penternak lembu

Datuk Rizam Ismail

SHAH ALAM, 19 Disember- Selangor mengarahkan SD Guthrie mengeluarkan notis rasmi kepada penternak lembu yang menduduki tanah milik syarikat itu secara tidak sah bagi memindahkan haiwan ternakan mereka di Sabak Bernam selewat-lewatnya 31 Januari tahun depan.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, keputusan itu telah dicapai dalam mesyuarat khas antara beliau bersama pihak terlibat, semalam.

"Akhirnya pihak SD Guthrie memberi satu penjelasan dimana polisi syarikat sd guthrie memang tidak membenarkan sebarang ternakan diadakan di dalam ladang mereka.

"Atas sebab itu kita pihak kerajaan negeri mengarahkan pihak SD Guthrie mengosongkan semua lembu di ladang mereka dalam tempoh kita berikan sehingga akhir Januari dan pihak SD Guthrie telah bersetuju," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di sini.

Kerajaan negeri turut bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau aktiviti penternakan lembu liar di Ladang SD Guthrie yang akan dipengerusikan Rizam Ismail dan dianggotai Pegawai Daerah Sabak Bernam serta agensi berkaitan.

Jelas Rizam, pihaknya turut mencadangkan lokasi alternatif sementara seperti di Sungai Lang dan Tebuk Jawa bagi menempatkan haiwan ternakan tersebut.

Selain itu, beliau turut menasihatkan penternak memohon tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara daripada kerajaan negeri sebagai penyelesaian jangka panjang.

Sebelum ini, lembu yang berkeliaran itu terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya.

Selain itu, haiwan ternakan yang dibiarkan bebas itu turut menceroboh kawasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI