KUALA LUMPUR, 20 Julai – Sumbangan kewangan dan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh rakan strategik kerajaan berpotensi memperluas capaian bantuan kepada lebih ramai golongan memerlukan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata sokongan padu daripada sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan amal serta individu dermawan amat digalakkan bagi memperkukuh inisiatif kebajikan yang digerakkan melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
“YKN berperanan sebagai pemacu utama dalam penyampaian bantuan kebajikan secara berskala besar dan tersusun. Namun, segala inisiatif ini tidak dapat dilaksanakan secara bersendirian. Ia memerlukan sokongan kukuh daripada sektor korporat.
"Oleh itu, saya menyeru semua pihak menyokong YKN sama ada melalui sumbangan kewangan, program CSR atau bentuk bantuan lain,” katanya semasa merasmikan program Sustainability & CSR Award 2025.
Menurutnya, melalui YKN, pelbagai program telah dan sedang disalurkan kepada kumpulan sasar seperti keluarga yang memerlukan, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak, sejajar dengan hasrat kerajaan meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat.
Tambah beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut komited menjalankan pelbagai inisiatif, termasuk Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, kepimpinan dan keusahawanan dalam kalangan wanita muda, sebagai pelapis pemimpin masa depan.
Selain itu, kementerian juga menyokong pengoperasian Pusat Aktiviti Warga Emas (PaWE) di seluruh negara, sebagai pusat komuniti yang menyediakan aktiviti sosial, kesihatan dan pembelajaran khusus untuk warga emas.
Dr. Noraini menegaskan, setiap sumbangan kepada YKN dan agensi-agensi di bawah KPWKM bukan sekadar dianggap sebagai derma, malah merupakan pelaburan sosial dalam usaha membina sebuah Malaysia yang lebih adil, inklusif dan sejahtera.