Kes ‘scam’ naik 87 peratus, mangsa rugi RM2.97bil

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Jenayah penipuan dalam talian (scam) di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak apabila sebanyak 66,204 kes direkodkan sepanjang tahun 2025 dengan jumlah kerugian mencecah RM2.97 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket penipuan siber terus memperbaharui taktik, mengeksploitasi teknologi serta platform komunikasi moden.
  • Phone scam kekal ancaman utama (28,388 kes); penipuan pelaburan tidak wujud catat kerugian tertinggi RM1.47 bilion.
  • Kerjasama PDRM dengan institusi perbankan menerusi Program PB Scam Rangers tingkatkan kesedaran dan literasi keselamatan digital.

Angka itu melonjak 87 peratus berbanding 35,368 kes pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan trend jenayah siber yang semakin serius dan membimbangkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata peningkatan ketara itu membuktikan sindiket penipuan siber terus memperbaharui taktik dan modus operandi mereka dengan mengeksploitasi kemajuan teknologi serta platform komunikasi moden.

“Phone scam kekal sebagai ancaman utama dengan 28,388 kes dilaporkan, manakala penipuan pelaburan tidak wujud merekodkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM1.47 bilion.

“Angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya menggambarkan ribuan mangsa yang kehilangan simpanan, sumber pendapatan dan masa depan akibat diperdaya sindiket,” katanya ketika merasmikan Program PB Scam Rangers: Perangi Scam – Dua Pasukan Satu Matlamat, hasil kerjasama strategik antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Public Bank Berhad di ibu negara, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik pelaksanaan Program PB Scam Rangers yang disifatkan sebagai inisiatif penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap keselamatan digital dan literasi kewangan.

“Pendekatan ‘Dua Pasukan Satu Matlamat’ membuktikan usaha memerangi penipuan dalam talian memerlukan kerjasama menyeluruh antara pihak berkuasa, institusi perbankan serta masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dalam setiap urusan kewangan, khususnya transaksi dalam talian dengan mengamalkan prinsip semak dan sahkan melalui saluran rasmi sebelum bertindak.

Dalam majlis sama, beberapa pegawai PDRM menerima sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam membanteras jenayah komersial.

Program PB Scam Rangers dijangka menjadi platform berterusan untuk memperkasa pendidikan awam sekali gus membentuk masyarakat yang lebih celik keselamatan siber dalam menghadapi ancaman penipuan digital yang semakin kompleks.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Rusdi Mohd Isa serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Tay Ah Lek.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.