
KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Manuskrip yang terpilih menerusi Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa 2026 berpeluang untuk diterbitkan.
- Kerjasama antara Sanggar Ilmu, Pelangi dan DBP dalam pelaksanaan inisiatif penulisan kanak-kanak dan remaja.
- Inisiatif membuka peluang memperluas capaian karya penulis tempatan khususnya dalam penulisan kanak-kanak dan remaja.
- Pelangi dan Sanggar Ilmu akan mendapatkan persetujuan penulis untuk hak penerbitan, dan penulis diharap memberi kebenaran kepada gabungan.
- Penganjuran sayembara mencerminkan iltizam dan kebersamaan pihak-pihak dalam mendukung pengembangan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan.
Pengerusi Syarikat Sanggar Ilmu Sdn Bhd, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata, penerbitan itu bakal dilaksana menerusi kerjasama Syarikat Sanggar Ilmu Sdn. Bhd. (SANGGAR ILMU) dan Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd. (PELANGI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Inisiatif itu juga bakal membuka peluang untuk memperluas capaian karya penulis tempatan, khususnya dalam bidang penulisan buku kanak-kanak dan remaja.
“Memang hasrat kita untuk menerbitkan semua karya yang memenangi tempat tertentu menerusi Sanggar Ilmu. Kita berharap semua penulis bersedia untuk memberikan hak penerbitan kepada gabungan Sanggar Ilmu, Pelangi dan DBP.
“Pihak Pelangi dan Sanggar Ilmu akan mendapatkan persetujuan daripada penulis. Ini merupakan gerakan strategik secara bersepadu yang akan memungkinkan karya sastera kita disampaikan dengan lebih meluas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa 2026 anjuran Syarikat Sanggar Ilmu Sdn. Bhd. (SANGGAR ILMU) dan Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd. (PELANGI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di ibu negara.
Tambahnya, penganjuran sayembara berkenaan mencerminkan iltizam dan kebersamaan pelbagai pihak dalam mendukung usaha pengembangan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan.