Satu daerah, satu Tabika Tunas Istimewa menjelang 2027 – TPM Zahid

Foto RTM

PUTRAJAYA, 6 Ogos – Tabika Tunas Istimewa akan diperluas dengan sasaran sekurang-kurangnya sebuah tabika beroperasi di setiap daerah menjelang 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • KEMAS akan sediakan sehingga 132 kelas tambahan melalui pembukaan dan baik pulih bangunan.
  • Kelas istimewa ditujukan untuk anak-anak autisme yang kini menanggung yuran tinggi di taska swasta.
  • Kementerian mengutamakan memahami keperluan dan pandangan rakyat sebelum memuktamadkan dan melaksanakan dasar.
  • Setiap LKW ditetapkan capai ROA antara empat hingga enam peratus dan sediakan Pelan Pengaktifan Aset dalam 100 hari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu bagi memastikan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak khas yang mudah diakses selain, yuran ditetapkan sebanyak RM100 sebulan.

“Daripada 19 kelas yang sedang beroperasi, KEMAS akan menyediakan sehingga 132 kelas tambahan melalui pembukaan serta baik pulih bangunan.

“Kelas istimewa ini buat anak-anak autisme yang terpaksa membayar yuran antara RM800 hingga RM1,500 sebulan jika ke taska swasta. Jadi KEMAS mengambil tanggungjawab menyantuni kumpulan sasar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW berkata kementeriannya kekal mengutamakan proses memahami keperluan dan pandangan rakyat sebelum memuktamadkan keputusan dan melaksanakan sebarang dasar.

Selain itu, beliau berkata setiap Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) ditetapkan untuk mencapai Pulangan Atas Aset (ROA) optimum antara empat hingga enam peratus.

“Kesemua LKW turut diarahkan menyediakan Pelan Pengaktifan Aset dalam tempoh 100 hari bagi memastikan aset kerajaan dimanfaatkan secara lebih produktif dan memberi pulangan kepada rakyat,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.