fb fb fb fb fb

Sarawak dan ASEAN sependapat, wanita wajar diberi peluang setara dalam semua bidang

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (TENGAH) merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita (WAIPA) 2025, anjuran bersama Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di Damai Lagoon, Kuching

KUCHING, 22 April- Kerajaan Sarawak bersama negara-negara anggota ASEAN sebulat suara bersetuju bahawa wanita wajar diberikan ruang dan peluang yang saksama dalam bidang pendidikan, sosial dan ekonomi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kesepakatan tersebut merupakan asas penting dalam menjadikan agenda pemerkasaan wanita sebagai teras utama pembangunan negeri dan negara.

“Pada masa ini, hanya 13.5 peratus Ahli Parlimen di Malaysia adalah wanita, manakala di Sarawak, penyertaan wanita sebagai wakil rakyat, termasuk ADUN, berada pada kadar 16.1 peratus,” jelas beliau.

Menurut beliau, angka tersebut mencerminkan bahawa usaha memperkukuh penyertaan wanita dalam bidang politik dan pembuatan dasar masih jauh dari memadai, justeru memerlukan langkah lebih agresif dan inklusif ke arah keseimbangan jantina.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita (WAIPA) 2025, anjuran bersama Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di Damai Lagoon, Kuching, hari ini.

Dalam ucapannya, Abang Johari turut mengiktiraf pencapaian wanita Sarawak yang kini memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, ekonomi, hak asasi manusia dan perancangan dasar.

“Wanita Sarawak telah membuktikan ketabahan, kebijaksanaan dan keberanian dalam mendepani cabaran dan kita akan terus menyokong mereka menerajui perubahan,” katanya lagi.

Sarawak, jelas beliau, komited untuk terus menjadi peneraju dalam memacu agenda pemerkasaan wanita di peringkat serantau, selaras dengan arus perubahan global ke arah masyarakat yang lebih adil, seimbang dan progresif.

Mesyuarat empat hari itu menghimpunkan penyertaan dari 10 negara Asia termasuk Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Filipina, dan Timor Leste, selain negara tuan rumah Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE