KUALA LUMPUR, 12 November - Sebanyak 1,450 kes vandalisme dan 36 kes kecurian menara telekomunikasi direkodkan di Sarawak sejak tahun 2024, melibatkan kerugian keseluruhan melebihi RM12.7 juta.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, bagi tahun 2024 sahaja, Sarawak merekodkan 3 kes kecurian dan 1,116 kes vandalisme dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM9.3 juta.
"Sementara itu, sehingga suku kedua tahun 2025, sebanyak 33 kes kecurian dan 334 kes vandalisme telah dilaporkan, membabitkan kerugian sekitar RM3.48 juta.
“Di kawasan Parlimen Mas Gading, sebanyak 4 kes kecurian dan 10 kes vandalisme dicatatkan dengan jumlah kerugian RM74,341.14” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Teo berkata, Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa, pemberi perkhidmatan dan komuniti setempat bagi mengurangkan risiko kecurian serta vandalisme di tapak menara komunikasi.
"“Bagi meningkatkan keselamatan menara di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kami telah mengambil langkah memperkukuh tapak menara komunikasi yang berisiko dengan pemasangan kelengkapan anti-kecurian dan anti-vandalisme, termasuk pemasangan saluran besi (trunking) bagi melindungi kabel tembaga daripada dicuri atau dipotong," katanya.
Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera turut dipasang di kawasan berisiko tinggi serta peranti pengesan (sensor) yang memberi amaran segera kepada penyedia perkhidmatan jika berlaku pencerobohan atau kerosakan.
Selain itu, MCMC bersama pemain industri telekomunikasi kini merangka pelaksanaan operasi bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan melakukan pemeriksaan terhadap premis pengumpulan barang lusuh yang berpotensi menjadi tempat pelupusan barangan curi seperti kabel tembaga, bateri dan komponen elektronik.
Teo menegaskan, kerajaan melalui inisiatif JENDELA Fasa 2 turut memastikan setiap menara baharu dan projek naik taraf dilengkapi ciri keselamatan menyeluruh sejak awal pembinaan, bagi melindungi aset telekomunikasi dan menjamin kesinambungan perkhidmatan digital kepada rakyat.