SIBU, 12 September - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot ekspres yang karam di perairan Tanjung Kunyit, di sini, memasuki hari ketiga dengan kawasan pencarian diperluaskan di sepanjang Batang Rajang.
Mangsa, Hui Chye Mee, 64, yang juga pemilik bot ekspres terbabit, masih belum ditemui sejak insiden yang berlaku pada petang 9 September lalu.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi pencarian bermula seawal 8.40 pagi dengan rondaan diperluaskan meliputi radius dua kilometer ke hulu dan hilir dari lokasi kejadian.
Insiden dilaporkan berlaku kira-kira pukul 6.27 petang apabila bot ekspres berkenaan bertembung dengan sebuah kapal kargo yang membawa muatan kontena.
Akibat pelanggaran itu, bot ekspres tersebut karam serta-merta, manakala sebahagian barang yang dibawa ditemukan terapung di permukaan sungai.
Mangsa difahamkan sedang dalam perjalanan menghantar bekalan ke beberapa rumah panjang di pesisir Sungai Rajang dan Sungai Pasin sebelum kejadian.
Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral digerakkan sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.17 tengah malam, 10 September lalu.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.