fb fb fb fb fb

Sanusi belum dipanggil SPRM berkait kecurian REE - Azam Baki

KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata Sanusi akan dipanggil bila ada keperluan bagi membantu siasatan tersebut.

"Kita (SPRM) belum lagi memanggil dia (Sanusi) kerana ini suatu perkara yang kita tidak mahu dedahkan. Jadi dalam siasatan ini kita tidak mahu menguar-uarkan kepada mana-mana pihak tentang sesiapa dipanggil ke SPRM. Kita akan panggil bila ada keperluan.

"Kita akan akan memanggil sesiapa sahaja yang terlibat tak kira apa jawatan sekalipun. Sekiranya dia terlibat, kita akan panggil dia (Sanusi). Masa akan menentukan.

"Dalam kita menjalankan siasatan, tidak semestinya seseorang yang terlibat ataupun tidak akan dipanggil terlebih dahulu atau kemudian. Apabila sampai masa kalau SPRM panggil kita akan maklumkan," kata Azam Baki ketika ditemui selepas hadir ke konti Terengganufm di sini, hari ini.

Azam Baki turut menafikan tindakan SPRM berhubung kes ini sebagai pendakwaan terpilih kerana dilakukan dalam musim pilihanraya.

"Ini tiada kaitan dengan pilihanraya, kes ini berlaku selepas menerima laporan orang ramai.

"Katakan kalau laporan ini berlaku sebelum PRU, selepas PRU pun tak ada masalah, saya tidak meletakkan satu timeline (jangka masa).

"....sebelum PRU dia saksi, selepas PRU dia jadi suspek pulak, bukan begitu. Kalau orang tu suspek, sebelum atau selepas PRU pun tetap sama, jadi kita akan tentukan selepas kita memanggil seseorang, keterangan-keterangan kita kumpulkan untuk kita melihat kepentingan seseorang itu," katanya.

(Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika ditemu bual di Konti Terengganufm hari ini)

Tambah beliau, lebih ramai saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan kes yang membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta itu.

Pada Selasa, SPRM turut membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang Menteri Besar dalam isu REE.

Menurut sumber, aktiviti perlombongan tersebut dipercayai dilakukan secara tidak sah, sekali gus menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

"Dua suspek sudah ditangkap dan lima belas individu lain akan dipanggil sebagai saksi untuk membantu dalam siasatan perkara ini.

"Kita (SRPM) akan mendapatkan dokumen-dokumen penting daripada Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan Kerajaan Negeri," katanya.

Semalam, SPRM menahan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi bantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi.

Kedua-dua suspek direman tiga hari bermula semalam hingga 21 Julai ini.

Azam Baki berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Pada Rabu, Sanusi juga mendedahkan belum belum menerima kunjungan SPRM bagi siasatan isu unsur nadir bumi.

Artikel Berkaitan:
Pegawai kanan MBI Kedah antara ditahan kes rasuah RM13 juta
PKR Kedah lapor SPRM, gesa siasat ketirisan MB Kedah
Sembilan ditahan terbabit kes pemerdagangan manusia, curi REE

Media Baharu