ADDIS ABABA, 20 November - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Addis Ababa City Hall hari ini mengukuhkan hubungan kedua-dua pihak menerusi pertukaran dokumen.
Langkah berkenaan berupaya mengukuhkan hubungan antara kedua -dua ibu kota sekali gus memberi nilai strategik kepada pihak masing-masing.
Menerusi hantaran di Facebook,Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kerjasama itu membuka ruang baharu kepada Kuala Lumpur untuk memperluas rangkaian global, memahami pendekatan pembangunan di Afrika Timur dan meningkatkan kapasiti teknikal bandar selari dengan keperluan masa kini.
Jelas beliau, pementeraian dokumen tersebut meliputi lima bidang tujahan iaitu pengurusan sisa dan ekonomi kitaran; pelancongan serta budaya dan sukan; pembangunan kapasiti institusi; pengurusan taman awam; serta mitigasi banjir dan ketahanan iklim.
"Kesemua bidang tujahan ini menggambarkan komitmen bersama ke arah pembinaan bandar yang lebih terancang, berdaya tahan dan berpaksikan kemampanan.
"Bagi Wilayah Persekutuan, kerjasama ini seiring dengan pelaksanaan visi Bandar CHASE yang sedang digerakkan", katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambah beliau, pertukaran bidang teknikal dengan Addis Ababa berpotensi memperkukuh dasar pembangunan bandar Kuala Lumpur khususnya dalam aspek perancangan, ruang hijau, mobiliti dan penyesuaian terhadap perubahan iklim.
"Inisiatif ini juga memberi peluang kepada kedua-dua bandar untuk membangunkan latihan, pertukaran kepakaran dan projek bersama yang dapat meningkatkan keupayaan Kuala Lumpur menghadapi cabaran global seperti tekanan urbanisasi dan keperluan pembangunan yang lebih mampan", ujarnya.