ADDIS ABABA, 20 November - Malaysia dan Ethiopia menyatakan komitmen untuk menerokai sepenuhnya kekuatan masing-masing, khususnya dalam urusan perdagangan, pelaburan, hubungan dua hala serta memanfaatkan platform multilateral, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perbincangan dua hala sangat menyeluruh dan seperti lazimnya, usaha diplomatik akhirnya membawa kepada asas ekonomi yang kukuh dari segi perdagangan, pelaburan dan hubungan.
“Sebagai sebuah negara perdagangan, visi Malaysia ke hadapan ialah untuk meluaskan dan meneroka pasaran baharu, terutamanya di Afrika, Amerika Latin dan seterusnya,” katanya dalam sidang media bersama dengan Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali di sini.
Jelas Perdana Menteri, Ethiopia memiliki kedudukan yang strategik berikutan lokasi Kesatuan Afrika (AU) yang beribu pejabat di Addis Ababa.
Beliau yang juga Menteri Kewangan optimis, Putrajaya turut akan memanfaatkan mekanisme seperti Kumpulan 20 (G20) bagi memperkukuh hubungan tradisi dengan Amerika Syarikat, Eropah dan China.
Sementara itu, Abiy Ahmed pula menyifatkan perbincangan tersebut sebagai produktif dan berpandangan jauh, sambil mengukuhkan komitmen bersama Malaysia dan Ethiopia untuk memperkasa kerjasama dalam sektor utama.
“Kami membincangkan bidang kerjasama utama bermula dengan perindustrian dan pelaburan. Ethiopia mahu berkembang berasaskan kejayaan industri Malaysia dan menarik pelaburan dalam taman perindustrian, pemprosesan agro dan sektor elektronik kami.
“Kami juga membincangkan ekonomi digital, termasuk kewangan korporat dan digital, keterangkuman kewangan serta inovasi berasaskan data,” katanya.
Abiy Ahmed berkata mereka turut membincangkan pembangunan kemahiran, penyelarasan latihan dengan keperluan industri dan meningkatkan peluang pekerjaan belia di Ethiopia.
Beliau berkata, lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka lembaran baharu kerjasama Selatan-Selatan yang berteraskan nilai keharmonian, keterangkuman dan solidariti.
Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara dan MoU kerjasama dalam pelancongan.