fb fb fb fb fb

PM diberi sambutan rasmi di Istana Negara Ethiopia

Perdana Menteri menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Negara Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia/RTM

ADDIS ABABA, 20 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Istana Negara Ethiopia juga dikenali Istana Jubli, yang merupakan sebuah bangunan bersejarah di pusat bandar Addis Ababa.

Ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut rakan sejawatnya Dr Abiy Ahmed Ali, sebelum kedua-dua pemimpin bergerak ke pentas khas.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Perdana Menteri memeriksa kawalan kehormatan.

Sejurus kembali ke pentas khas, kedua-dua pemimpin menyaksikan lintas hormat barisan kawalan kehormatan serta pasukan pancaragam.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.
 
Sejurus itu, kedua-dua pemimpin bergerak ke tapak yang disediakan bagi Upacara Menanam Pohon Persahabatan.

Kedua-dua pemimpin menanam pokok kelapa sawit disediakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Sementara itu, di Muzium Kereta yang terletak berhampiran Istana Negara, Perdana Menteri diperlihatkan koleksi kenderaan milik Maharaja Haile Selassie termasuk dua gerabak lokomotif yang dihadiahkan kepada baginda.

Haile Selassie merupakan Maharaja Ethiopia dari 1930 hingga 1974.

Selain itu, Perdana Menteri turut diperlihatkan memorabilia dan koleksi peribadi Maharaja Haile Selassie.

Susulan upacara di Istana Negara, Datuk Seri Anwar dan Abiy Ahmed mengadakan pertemuan empat mata secara tertutup.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD