KUALA LUMPUR, 20 November - Bermula 2026, hanya premis yang memiliki tandas bersih dan memenuhi standard minimum kebersihan akan layak menerima kelulusan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, garis panduan baharu itu akan dilaksanakan secara berfasa bagi memperkukuh imej serta standard kebersihan tandas di seluruh negara.
Pelaksanaan bermula di peringkat Majlis Bandaraya pada 2026, diikuti Majlis Perbandaran pada 2027 dan Majlis Daerah pada 2028.
"Langkah ini memastikan standard tandas ‘BMW’ Bersih, Menawan dan Wangi menjadi norma nasional, sekali gus meningkatkan imej perkhidmatan awam dan pengalaman pengguna, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Tandas Terbaik KPKT (TOTYA) 2025 di ibu negara.
Garis panduan itu turut menetapkan nisbah baharu kemudahan tandas di premis perniagaan dan bangunan awam, iaitu sekurang-kurangnya satu tandas lelaki dan dua tandas perempuan bagi menampung keperluan pengguna.
Keperluan menambah tandas wanita dibuat berdasarkan pemerhatian serta dapatan saintifik termasuk daripada kerajaan Jepun yang menunjukkan wanita memerlukan lebih masa menggunakan tandas.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan TOTYA 2025 mencatat penyertaan tertinggi sejak penganjurannya, iaitu 744 penyertaan berbanding 625 tahun lalu dan 345 pada 2023.
"Ini membuktikan TOTYA kini menjadi penanda aras kebangsaan dalam menilai standard kebersihan tandas awam," katanya.
Kerajaan turut memperuntukkan RM180 juta selama tiga tahun bermula 2024 bagi tujuan membaik pulih dan menaik taraf tandas awam di seluruh negara.
Pada majlis itu, lapan kategori dianugerahkan, masing-masing menerima RM20,000, trofi dan sijil. Antara pemenang ialah Masjid Tepian Putra, Kuantan (kategori rumah ibadat), SJKC Chung Kwok Kuala Lumpur (kategori sekolah), Tandas Awam Terminal Putrajaya Sentral (kategori PBT) dan Sushi Tie, Bintulu (kategori restoran).
Manakala, Shell Jalan Hospital, Ipoh memenangi kategori stesen minyak, manakala R&R Tapah (Arah Selatan) diumumkan pemenang kategori R&R.
Bagi kategori hotel dimenangi NU Hotel, Bintulu dan Pavilion Bukit Jalil meraih kemenangan bagi kategori pusat beli-belah.