fb fb fb fb fb

Kerjasama strategik AADK-media bina persepsi positif terhadap pemulihan

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh /RTM

PUTRAJAYA, 20 November -Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, memberi sinar baharu buat individu yang bergelut dengan penagihan dadah dan ingin pulih.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, perubahan tersebut menjadi pemacu kepada usaha memastikan lebih ramai individu tampil mendapatkan bantuan tanpa dibayangi stigma.

Menurutnya, AADK juga bekerjasama dengan pihak media sebagai rakan strategik dalam membina persepsi positif terhadap pemulihan dadah.

"Kita nak gunakan media sebagai salah satu medium dalam menyalurkan maklumat dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan AADK.

"Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada klien-klien untuk mereka terus hidup dalam masyarakat tanpa kembali terlibat dengan dadah,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra AADK Bersama Media di sini pada Selasa.

Menurutnya, AADK turut memperluas rawatan berasaskan komuniti agar klien tidak terasing daripada keluarga faktor yang terbukti meningkatkan peluang mereka pulih sepenuhnya.

“Persepsi ataupun stigma itu perlu kita buang sebab ada pendekatan yang kita bagi itu antaranya adalah kita buat kerjasama dengan syarikat-syarikat luar untuk datang ke AADK memberi taklimat untuk mengambil pekerja program bagi bekas-bekas klien ini.

"Saya tengok sudah banyak syarikat-syarikat datang kepada kita dan apabila mereka datang memberi peluang pekerjaan kepada mereka, kita lihat kadar untuk kembali kepada penagihan itu adalah rendah berbanding dengan mereka yang kita biarkan di luar sana,” katanya.

Beliau menyeru media untuk terus menonjolkan kisah kejayaan bekas klien dan menyediakan ruang kepada AADK untuk berkongsi pengetahuan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap AADK.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD