KUALA LUMPUR, 20 November - Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) terus memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan negara kekal diyakini pelabur serta mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, Malaysia bukan hanya berusaha menarik pelaburan bernilai tinggi, tetapi turut memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem industri negara.
“Kita mesti kukuhkan kerjasama kerajaan, industri, akademia dan inovator bagi memastikan setiap standard,pensijilan dan produk meneguhkan identiti Malaysia sebagai negara berkualiti dan cemerlang. "
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam menyokong peranan SIRIM sebagai badan pensijilan nasional dan institusi peneraju yang memacu tadbir urus AI, pembuatan pintar serta pembangunan ekosistem perindustrian mampan.
"Kerajaan kekal komited menyokong SIRIM sebagai badan pensijilan nasional dan institusi peneraju yang memacu tadbir urus AI, pembuatan pintar serta ekosistem perindustrian yang mampan", katanya demikian ketika merasmikan Majlis SIRIM Berhad 2025 di ibu negara pada Selasa.
Tambah beliau, kerajaan telah memperuntuk RM8.1 bilion bagi pembangunan kecerdasan Buatan (AI) dantransformasi penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pada majlis itu, SIRIM melancarkan Pensijilan Sistem Pengurusan AI (ISO/IEC 42001) dan Pensijilan Sistem Pengurusan Inovasi (MS ISO 56001) bertujuan menyediakan rangka kerja berstruktur bagi memastikan tadbir urus AI beretika dan pengurusan inovasi yang lebih efektif.
Pensijilan tersebut dijangka meningkatkan keyakinan pelabur, mengurangkan risiko, memperkukuh proses dalaman industri serta membantu sektor perindustrian menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.