fb fb fb fb fb

Pangkalan data genom Malaysia siap 2028, jujukan awal sedia Mac 2026

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 November - Pangkalan data jujukan genom rakyat Malaysia yang lengkap dijangka siap menjelang akhir 2028, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang. 

Bagaimanapun, beliau berkata jujukan genom bagi 2,400 individu sihat di bawah Projek MyGenom akan mula tersedia pada Mac 2026.

"Akses kepada data ini adalah tertakluk kepada kawalan ketat melalui Jawatankuasa Akses Data (DAC), setiap permohonan penggunaan data akan melalui proses tapisan dan penilaian oleh DAC.

“Bagi memastikan perkongsian data dilakukan secara beretika, bertanggungjawab serta mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa.

Projek MyGenom, yang dilancarkan pada 29 Ogos 2024, adalah program usaha sama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan dengan tiga objektif utama iaitu menjujuk genom rakyat Malaysia, Menghasilkan genom rujukan untuk Malaysia dan mencirikan variasi genetik rakyat negara ini.

Projek berkenaan akan menghasilkan set data genomik yang mencerminkan kepelbagaian populasi dan menjadi kunci kepada pelaksanaan Perubatan Jitu di Malaysia.

Sementara itu, Chang berkata Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan melancarkan dana pengkomersilan melibatkan peruntukan RM10 juta pada tahun depan dengan permohonan dijangka dibuka seawal suku pertama 2026.

Beliau berkata dana itu akan menjadi pemangkin untuk membiayai sekurang-kurangnya 10 projek berimpak tinggi yang berada pada tahap kesediaan teknologi.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,275,900,600 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD