PUTRAJAYA, 20 November – Hampir 1,000 peserta dari dalam dan luar negara bakal berhimpun untuk mengimarahkan Majlis Sama' Hadith Sahih Muslim Antarabangsa yang bermula pada 19 sehingga 28 November ini di Masjid Putra, di sini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar, majlis tersebut merupakan platform terbaik untuk umat Islam memperkukuh kefahaman agama agar selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Majlis ini bukan sekadar ritual bacaan hadith tetapi usaha menyemarakkan budaya ilmu serta pemikiran Islam yang seimbang dan berasaskan nas-nas yang sahih.
"Inilah jalan terbaik menangkis kefahaman sempit, salah tafsir dan kecenderungan ekstrem dalam beragama,” katanya.
Antara barisan tokoh ulama luar negara yang terlibat termasuk Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki dari Indonesia, Sheikh Dr. Naji Rashid Al Arabi dari Bahrain dan Sheikh Dr. Ahmed Mamdouh Ahmed Mohammed Saad dari Mesir.
Majlis Khatam Sama' Hadith berkenaan dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, pada majlis yang sama, turut dilancarkan Program Dakwah Negara 2025, yang bermula 15 Oktober lalu dan akan berlangsung sehingga 15 Disember depan, dengan sasaran penganjuran seribu aktiviti di seluruh negara.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, dan Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom.