(Foto KPDN Kedah)
KULIM, 20 Julai- Aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan di sebuah stesen minyak di Lunas, semalam.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan sejak seminggu lalu.
Ketika serbuan dilakukan, terdapat sebuah lori dilihat sedang mengisi diesel bersubsidi dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tangki tambahan yang diletakkan di dalam lori tersebut.
"Diesel yang diisi ke dalam tangki kenderaan itu telah disedut naik dengan menggunakan pam ke dalam tangki tambahan.
"Lori tersebut telah disita bersama 1,800 liter minyak diesel yang telah diisi kedalam tangki tambahan tersebut.
"Minyak diesel yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM4,000, manakala lori dianggarkan bernilai RM30,000.
"Turut disita, enam unit tangki dan satu unit hos berserta pam dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM37,000.
"Seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama-sama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya menerusi kenyataan.
(Foto KPDN Kedah)