fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi PM ke Vietnam buka ruang pelaburan negara

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulung beliau selama dua hari ke Republik Sosialis Vietnam bermula hari ini dan esok.

Anwar ke republik itu atas jemputan Perdana Menteri Vietnam Pham Minch Chinh.

"Kedua-dua pemimpin tersebut akan memperhalusi kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021–2025 di bawah Kerangka Perkongsian Strategik Malaysia – Vietnam.

"Lawatan rasmi ini dijangka mengukuhkan hubungan yang tersedia erat di antara Malaysia dan Vietnam selaku negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN," menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, pada tahun ini merupakan sambutan Jubli Emas penubuhan hubungan diplomatik dan lawatan itu membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan yang telah terjalin.

"Perdana Menteri turut dijadual untuk mengadakan kunjung hormat ke atas Presiden Vietnam, Vo Van Thuong serta beberapa pertemuan dengan pemimpin utama Vietnam iaitu Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam (Chairman of the National Assembly of Vietnam), Vuong Dinh Hue.

Dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Minh Chinh, Anwar akan diiringi delegasi kepimpinan tertinggi negara, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan agensi berkaitan.

Antaranya Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri dijangka akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara beberapa kementerian dan agensi Malaysia dengan Vietnam dalam pelbagai sektor

Ini sekali gus akan meningkatkan pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara.

Anwar juga akan menghadiri Persidangan Perniagaan Bersama Malaysia-Vietnam dan sesi bertemu diaspora Malaysia.

Pada tahun lalu, jumlah dagangan dua hala di antara Malaysia dan Vietnam meningkat sebanyak 23.1%, daripada USD16.74 bilion (RM69.40 bilion) pada 2021, kepada USD19.44 bilion (RM85.40 bilion) pada 2022.

Malaysia merupakan pelabur kesembilan terbesar di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak USD13.06 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN:
Mesyuarat JCM ke-7 Malaysia-Vietnam, bincang isu kepentingan bersama - Zambry
Kerjasama rapat Malaysia-Vietnam, tarik lebih banyak pelaburan di rantau ASEAN
Lawatan PM ke Vietnam, perkukuh hubungan dua hala pelbagai bidang

Media Baharu